Terkadang ingin saja diucapkan seperti dahulu kala kepada mana-mana gadis itu, "Jom Kahwin?" Dulu terasa ringan ayat itu, namun sekarang berat. Ya, mungkin kerana dunia dan komitmen. Mungkin juga kerana sedar hati ini berbolak-balik. Atau kerana kecewakah ia setelah episod-episod cerita dua hala dulu? Atau sedar diri ini banyak lagi kekurangan lantas meragui untuk menjadi suami dan ayah yang baik. Atau mungkin juga kerana melihat ekonomi manusia kini yang mula compang-camping gayanya lantas meragui diri yang tidak berduit dunia ini mampu menahan atas dunia yang fana. Mungkin juga penat dan takut, penat apa? Takut apa? Persepsi manusiakah? Celoteh murahankah?
Atau Allah berpesan kepada diriku untuk terus mengembara lagi, usah difikir mainan jiwa ini, perbaiki diri, melangkah ke bumi orang, menaik taraf ilmu dalam diri, membuka minda mengaji kehidupan. Dunia ini hanya sementara, jangan lengah dengan perkara sia-sia.
Itu yang aku kata tapi mampukah diri ini meredah arus nafsu, melawan gelora nikmat dan terus memperjuangkan iman?
Berat, sesungguhnya dunia itu penjara bagi orang beriman.
Jadi terus berharap pada Tuhan, minta Dia tunjuk dan bimbingkan jalan.
Tahan diri dari jatuh ke lubang hitam.
Lubang Maksiat.