Bismillah...
“I begin to doubt the wisdom of my chosen course of action,
but in for a penny, in for a pound. I am willing to sacrifice my money and face
the risk because it is more dangerous to turn back than to go on.”
Apa yang nak dijangka, usai berlalu cuti maka cereka baru
anak dagang pun bermula, semester baru di UniKL dan pembinaan Q Mall di
belakang bangunan varsiti masih rancak dijalankan hingga bistro-bistro ditutup
untuk keselamatan. Tak lama lagi jadilah sekolah tinggi ini sebagai universiti yang
berhubung dengan shopping mall,
mungkin dalam tempoh dasar empat tahun lagi di tingkat empat laluannya.
Semester baru, di penginapan yang baru, dek kerana kecelaruan
dengan pihak HEM itu, langkah diangkat dan tinggal di rumah sahabat. Awalan
janggal itu kebiasaan, terus di situ kawan rumah memanggilku dengan gelaran ustaz. Meski tidak layak dipanggil
sebegitu, aku anggap itu doa kerana gelaran ustaz gelaran untuk orang yang
berilmu dan mudah-mudahan aku juga begitu. Kawan rumahku kebanyakkannya bukan
pemuda usrah, bukan juga pemuda masjid namun kami senang solat berjemaah
bersama. Terkadang aku solat bersama-sama dengan mereka di rumah, terkadang aku
rindu kepada masjid, solat bersama dengan mereka itu juga dakwah, moga Allah
menjadikan mereka semua insan yang soleh dengan pengakhiran yang baik. Syed
Muhsin itu orang yang paling tua dan dia cinta kepada habaib serta
majlis-majlisnya, jelas aku juga meletakkan cinta kepada ulama, maka di rumah
itu aku dan dia bergerak bersama bila sehaluan dalam hal-hal taman syurga.
Semester baru, di kelas yang baru, suasana yang sama jika
ada kenalan yang dulu, hampir tidak diperasannya mereka kepada aku kerna rambut
yang mengurai ini. Dari Ampang, pergi jalannya tersesat sedikit, baliknya juga
tersesat banyak, masjid Bukit Indah perhentian Isyak. Pensyarah ada yang
muncul, ada yang lambat, ada yang ghaib dan ada juga yang mula kasi pelajaran.
Minggu pertama, digarapnya dalam catatan memoir, memori tentang rakan yang
dilupa namanya dan memori tentang JAVA yang pudar konsolnya.
Ah, aku kena study.
Bertingkat-tingkat penyusunan data dalam minda menghurai kembali persoalan
kehidupan tentang sekarang dan masa depan. Masa lepas ambil sebagai batu
perubahan kemudian diuli batu itu menjadi batu kejayaan. Sedang yang menanti
graduan itu adalah hutang. Hutang tentang perkahwinan, kereta dan rumah. Hidup
ini jikalau syariahnya lengkap tentu indah namun aturan ciptaan manusia itu ada
yang susah lagi menyusah. Dirancang nikah gamaknya tahun 2015, Mesir, Syria,
Palestin masih bergolak, haji yang wajib itu tahun 2060 lebih baru berangkat (kata
itu manusia), dan masih bermain persoalan antara syariah, adat, kenalan,
sahabat, guru-guru, duit, iman.
Proses pemikiran dan keputusan setiap masa depan itu masih
berjalan seiring dengan istikharah dan musyawarah, ketenangan anugerah daripada
Allah dan remaja Malaysia kebanyakkannya tidak tenang iman mereka, fitnah di
bumi ini. Yang muda, yang sebaya dan yang lebih umurnya dari kita, semuanya
dalam pertimbangan. Semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua dan
memberikan kita keputusan yang terbaik berdasarkan kehendak-Nya.