"Serumpun tulisan anak dagang yang tak kekal hidup di dunia ini tapi dia tahu tulisan itu akan kekal biar pabila dia sudah tiada."

Tuesday, September 10, 2013

Ibu ketenangan

Bismillah...

“I begin to doubt the wisdom of my chosen course of action, but in for a penny, in for a pound. I am willing to sacrifice my money and face the risk because it is more dangerous to turn back than to go on.”


Apa yang nak dijangka, usai berlalu cuti maka cereka baru anak dagang pun bermula, semester baru di UniKL dan pembinaan Q Mall di belakang bangunan varsiti masih rancak dijalankan hingga bistro-bistro ditutup untuk keselamatan. Tak lama lagi jadilah sekolah tinggi ini sebagai universiti yang berhubung dengan shopping mall, mungkin dalam tempoh dasar empat tahun lagi di tingkat empat laluannya.

Semester baru, di penginapan yang baru, dek kerana kecelaruan dengan pihak HEM itu, langkah diangkat dan tinggal di rumah sahabat. Awalan janggal itu kebiasaan, terus di situ kawan rumah memanggilku dengan gelaran ustaz. Meski tidak layak dipanggil sebegitu, aku anggap itu doa kerana gelaran ustaz gelaran untuk orang yang berilmu dan mudah-mudahan aku juga begitu. Kawan rumahku kebanyakkannya bukan pemuda usrah, bukan juga pemuda masjid namun kami senang solat berjemaah bersama. Terkadang aku solat bersama-sama dengan mereka di rumah, terkadang aku rindu kepada masjid, solat bersama dengan mereka itu juga dakwah, moga Allah menjadikan mereka semua insan yang soleh dengan pengakhiran yang baik. Syed Muhsin itu orang yang paling tua dan dia cinta kepada habaib serta majlis-majlisnya, jelas aku juga meletakkan cinta kepada ulama, maka di rumah itu aku dan dia bergerak bersama bila sehaluan dalam hal-hal taman syurga.

Semester baru, di kelas yang baru, suasana yang sama jika ada kenalan yang dulu, hampir tidak diperasannya mereka kepada aku kerna rambut yang mengurai ini. Dari Ampang, pergi jalannya tersesat sedikit, baliknya juga tersesat banyak, masjid Bukit Indah perhentian Isyak. Pensyarah ada yang muncul, ada yang lambat, ada yang ghaib dan ada juga yang mula kasi pelajaran. Minggu pertama, digarapnya dalam catatan memoir, memori tentang rakan yang dilupa namanya dan memori tentang JAVA yang pudar konsolnya.

Ah, aku kena study. Bertingkat-tingkat penyusunan data dalam minda menghurai kembali persoalan kehidupan tentang sekarang dan masa depan. Masa lepas ambil sebagai batu perubahan kemudian diuli batu itu menjadi batu kejayaan. Sedang yang menanti graduan itu adalah hutang. Hutang tentang perkahwinan, kereta dan rumah. Hidup ini jikalau syariahnya lengkap tentu indah namun aturan ciptaan manusia itu ada yang susah lagi menyusah. Dirancang nikah gamaknya tahun 2015, Mesir, Syria, Palestin masih bergolak, haji yang wajib itu tahun 2060 lebih baru berangkat (kata itu manusia), dan masih bermain persoalan antara syariah, adat, kenalan, sahabat, guru-guru, duit, iman.


Proses pemikiran dan keputusan setiap masa depan itu masih berjalan seiring dengan istikharah dan musyawarah, ketenangan anugerah daripada Allah dan remaja Malaysia kebanyakkannya tidak tenang iman mereka, fitnah di bumi ini. Yang muda, yang sebaya dan yang lebih umurnya dari kita, semuanya dalam pertimbangan. Semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua dan memberikan kita keputusan yang terbaik berdasarkan kehendak-Nya.