"Serumpun tulisan anak dagang yang tak kekal hidup di dunia ini tapi dia tahu tulisan itu akan kekal biar pabila dia sudah tiada."

Sunday, December 29, 2013

Musolla itu berhantu sebenarnya


Tersebutlah suatu kisah pada suatu malam yang hening dimana pada sesuatu masa itu dua orang sahabat bercadang untuk tidur di musolla supaya senang bangun subuh esok harinya (atau mungkin qiamulail sekali kalau mereka rajin tapi mereka ini pemalas sungguh). Baik, kita namakan watak ini sebagai Ayam dan Pisang (watak tiada kena mengena antara yang hidup mahupun mati, ok, tapi mungkin ada sikit). Mereka berdua ini sebenarnya selalu kena sebat dengan Ustaz Muaz sebab selalu bangun lewat untuk solat subuh di musolla jadi bagi untuk mengelakkan dari kena sebat lagi pada keesokkan harinya, mereka tidur di musolla malam itu. Tepat pukul 12 malam, selepas bacaan surah al-mulk, Ayam dan Pisang memulakan langkahnya ke musolla malam itu.

Kelihatan hampir semua bilik telah memadamkan lampu bilik masing-masing. Ayam dan Pisang dengan selimut yg mereka bawa perlahan-lahan melangkah keluar dari asrama lelaki. Semasa hendak lalu di depan pondok jaga asrama lelaki, mereka lebih berhati-hati kerana tak nak kena soal atau tangkap dengan jaga, nanti banyak songeh pula. Kelihatan dalam pondok itu, jaga Ahmad seolah-olah seperti sedang tidur. Cantik! Line clear, lalu Ayam dan Pisang terus bergerak pantas ke musolla. Musolla dan asrama lelaki itu tidak jauh jaraknya, hanya dalam 200 meter gitu. Sambil bergerak pantas ke musolla, Ayam memandang langit malam itu dan memerhati sekeliling, sungguh indah dengan bintang-bintang yang bercahaya jernih, ditambah pula angin malam yang sepoi-sepoi bahasa tapi apabila pandangannya tepat ke tingkat dua asrama perempuan yang terletak sebelah dewan makan, kelihatan ada gadis bertudung labuh bulat sedang berdiri memandang langit di tepi koridor.

"Uish, awek aku ke tu tak tidur lagi", kata Ayam hendak bergurau dengan Pisang sambil menunjuk ke arah gadis itu..

"Haha, kau ada awek Ayam? Siapa laa nak kau ni. Kalau dak perempuan tu awek aku, orang percaya laa kan. Wei, dah sampai musolla ni, jomla masuk", balas Pisang sambil membuka pintu utama musolla dari kawasan lelaki.

"Eleh, muka kau Sang ada awek? Lagi laa orang tak percaya. Makcik kantin boleh la kau ayat. Haa, port sana macam okay je. Yang kat belah kiri musolla tu."

"Aku baik dengan mak cik kantin untuk anak dia, haha. Cantik laa, jom baring sana."

Ada beberapa lampu yang memang sengaja dipasang dalam musolla tapi ruang solat perempuan kelihatan agak gelap. Pisang membuka kipas lalu baring di sebelah Ayam. Mereka menggulungkan sejadah untuk dijadikan bantal.

"Kau ada dengar cerita tak?" Ayam memulakan bicara kembali.

"Pasal apa?"

"Ala, pasal Ketua Badar kita tu la, Shahfillah."

"Oh? Asal? Maafla, aku ni malas sikit gosip-gosip, jaga telinga katakan. Huhu. Cuba kau cerita kat aku. Cerciter"

"Iye je jaga telinga kau ni. Cakap lebih. Macam ni ceritanya, ada la dalam satu malam tu, dia nak turun buat tahajjud kat musolla kita ni. Dalam pukul 3 pagi lebih kurang. Bila dia masuk musolla, dia perasan ada kipas dinding kat bahagian solat perempuan yang terpasang jadi dia nak pi la tutup kan. Kan dalam musolla ni ada tirai halang antara ruang solat perempuan dan lelaki kan, jadi bila dia buka tirai tu..."

Beezzz.
Tiba-tiba kedengaran salah satu kipas dinding bahagian solat perempuan terbuka...

"Eh, tiba-tiba terbuka la kipas macam yang kau cerita tu, haha. Ajaib-ajaib, ada perempuan kat belakang gak kot. Eh, awat kau buat muka pelik ni. Cerita kau tak habis lagi laa", ujar Pisang kepada Ayam yang tiba-tiba kaget entah kenapa. Ayam tiba-tiba terasa seram sejuk dengan persekitarannya. Dia tak pasti sama ada pisang juga merasakan begitu atau tidak.

"Wei, jom balik bilik laa. Tidur bilik nak. Aku rasa tak selesa aku kat sini.", anjur Ayam.

"Awat kau ni tetiba macam ni? Tak selesa kita tidur bilik P.A system musolla ni. Aish, dah la cerita tak habis lagi. Kipas terbuka je pun kat belakang tu, bukan ada apa-apa. Kalau takde orang, entah cicak ke apa tertekan suis ke, buat suspen lak."

"Kau tau tak, yang aku nak cerita ni, yang ketua badar kita nampak masa dia buka tirai tu nak tutup suis kipas, dia nampak... (Ayam memandang ke arah kipas yang didengar terbuka tadi) Dia nampak seorang gadis tengah solat kau tau tak tapi tiba-tiba gadis tu angkat muka dia dan lambai tangan dia kat ketua badar tuu dan masalahnya gadis tu bukan muka gadis! Ketua badar kita terus lari masuk bilik badar yang ada kat sebelah bilik P.A. System tu." cerita Ayam secara suspen yang membuatkan Pisang pun agak suspen. Mereka berdua senyap sebentar dan hanya bunyi kipas yang kedengaran.

"Dah, moh kita gerak tidur bilik P.A System sekarang!" terus Pisang bangun untuk gerak ke bilik P.A System yang berada di hadapan musolla. Ayam pun lekas bangun mengikuti langkah Pisang.

Tiba-tiba tirai antara lelaki dan perempuan terbuka dek kerana kuatnya angin tiup. Pisang dan Ayam kaku separuh langkah mereka untuk ke bilik P.A. System, mata mereka memandang dan kelihatan ada gadis yang tengah solat. "Arghhhh!!!" Terkejut mereka dan sebelum sempat sampai ke bilik P.A. System mereka telah pengsan di tengah jalan. Berikut adalah gambar gadis yang membuatkan mereka terkejut itu:

.......

......

TAPI SEBELUM ITU SAYA NASIHATKAN UNTUK MEREKA YANG LEMAH JANTUNG TIDAK SKROL LAGI KE BAWAH!

.....

....

SAYA SUDAH INGATKAN, IANYA BERBAHAYA!

...

..

PANDAI-PANDAILAH TANGGUNG SENDIRI YE. NAH! SILAKAN TENGOK!

.

2 GADIS YANG DISANGKA HANTU OLEH PISANG DAN AYAM

Pagi esoknya, orang ramai kelihatan pelik apabila kelihatan Ayam menjadi imam subuh dan Pisang menjadi bilal sedangkan mereka selalunya berada atas katil lagi ketika ini. Para makmum mengalirkan air mata menangis kerana bacaan Ayam yang sungguh syahdu. Namun, persoalannya tiada siapa tahu gadis yang berdiri di tepi koridor malam tadi.

TAMAT.

...................................................................................................................................................................

Justifikasi: Cerita di atas hanyalah hiburan semata-mata dan termasuk dalam kenangan-kenangan kami ketika di SMKA Pedas dahulu. Minta maaf jika ada yang terasa hati.

Berikut adalah gambar-gambar sekitar musolla SMKAP:









Pernah suatu hari, seorang murid Imam Ahmad berkata padanya: 

" Wahai Abu ‘Abdullah: Apa pendapat kamu terhadap puisi yang menyebutkan tentang syurga dan neraka? "

Imam Ahmad menjawab : Contoh seperti puisi mana?

Muridnya menjawab: Seperti yang diucapkan oleh pemuisi-pemuisi ;

Ketika tuhan berkata kepadaku
Takkah kau malu bermaksiat kepadaku?
Kau sembunyikan dosa dari makhlukku
Tapi dengan penuh noda kau mengadapku?

Imam Ahmad berkata: Ulangi sekali lagi !

Muridnya berkata: Lalu aku ulangi sekali lagi, lalu dia (Imam Ahmad) bangun dan memasuki rumahnya serta menutup pintu. Ketika itu aku mendengar suara tangisannya dari dalam rumah dan beliau mengulang-ngulangi syair tadi.

( Dari : Kitab Tablisul Iblis )


A little girl from Syria


Tuesday, December 24, 2013

Merebang merambing

Baring-baring dan golek-golek, tiba-tiba teringat kenangan masa sekolah dahulu kala.

Aku duduk di barisan hadapan sekali dalam kelas 5 Al-Ghazali, ustaz Farizan sedang mengajar Bahasa Arab Tinggi. Ahh, aku mengantuk dengan kelas arab ini dan terlelap dalam duduk. Ustaz pun menunjukkan reaksi tidak kisah padaku, mungkin sebab aku memang biasa begini. Hinggi kini aku masih selalu di barisan hadapan. Dalam kelas itu, sebelah kananku adalah Adli, sebelah kanan Adli ialah Qamar (satu barisan hadapan ada 3 orang lelaki, dan 2 orang perempuan, kiranya Adli itu duduk ditengah-tengah antara aku dan Qamar, eh kejap, mungkin begitu mengikut ingatanku), sebelah kiriku mungkin Najlaa dan Angah (mungkin...). Entah, kadang-kadang aku pun tidak pasti. Barisan kedua lelaki ialah Hilmi, Arif, dan Faiz. Perempuan mula mungkin Syuhada, Najwa dan Farah? Barisan ketiga pula ialah Angau, Asyraaf dan barisan keempat ialah Hanaffi dan Akmal. Mungkin ingatan ini pun tidak betul...

Rindu nak pakai baju kuning seluar hitam itu (baju BADAR), rindu nak pakai baju hijau seluar hijau itu (baju KP), rindu juga nak pakai baju putih seluar hijau itu. Apa cerita aku pada masa itu ye. 5 Al-Ghazali itu kelas pertengahan, aku suka yang pertengahan, bukan yang pertama dan yang terakhir. Tapi orang selalu suka meletakkan aku berada pada yang pertama dan terakhir. Akhirnya aku hilang secara tiba-tiba. Dimana perginya cahaya mentari itu. Ayuh kita panjat tangki air dan terus menyorok dan berlari dari ditangkap jaga.

Bila habis sekolah, aku lepak dengan guru-guru ini pula, jadi rakan antara satu sama lain. Ajak kawan yang lain, malu katanya. Malu apa, dia mati nanti malu juga agaknya. Jumpa aje, mereka itu tidak makan orang. Lagi suka anak didiknya datang. Tak pandai berbual-bual? Ah, macam aku berbual dengan mereka itu, aku jumpa, tegur tanya sihat ke tak, dan tunggu mereka tanya soalan pula, kalau tidak aku pergi berlalu (eh, aku memang seorang pendiam, tidak tahu apa khabar selalunya). Dah tu, tahun depan Ustaz Farizan, cikgu Rosiah, cikgu Mustapa, ustaz Mardhiyah, semuanya pindah belaka. Bila lagi korang nak jumpa nanti... "Time raya datanglah rumah ye", datang sangat kan.

Ceroboh masuk makmal sains seorang diri. Eh, asal orang lain tak pandai nak ceroboh-ceroboh ni. Cuba akses komputer, slow, tak dapat, leceh katanya. Tengok bahan kimia, wah, banyaknya. Cecair merkuri ni nampak macam menarik. Cikgu Rosaidi ajar fizik, mungkin tak sentuh sangat bahan kimia ni. Apa nak buat lagi, apa nak buat. Mungkin seronok masa masuk senyap-senyap tapi bila dah masuk, tak tahu nak buat apa. Masuk stor soalan mungkin lagi seronok agaknya. Apa perasan eh budak bawah aku setahun yang curi masuk asrama puteri malam-malam tu, seronok?

"Abang, saya sumpah tak merokok bang". Hmm.. Budak ni dah banyak kali kena tangkap sebab merokok (orang ramai beritahu). Aku dah suruh sumpah guna Quran ni. Biarla, dosa dia kalau nak tipu sumpah. Kalau aku sentuh fizikal naya sangat junior-junior aku ni. Nasib baik aku pernah pukul budak batch aku sendiri je, kesian kawan aku sampai berdarah muka dia masa pernah kena dengan aku dulu. Kawan aku yg lain guna tangan, habis kena kawan-kawan aku balik, cis. Okay, dup dap, 3 tahun berlalu, okeh, dia ada adik rupanya kat sini, ayoo, adik pula jadi pengedar rokok nombor satu kat sekolah? Apa cerita ni...


Sunday, December 8, 2013


"Bersemangatlah atas hal-hal yg bermanfaat bagimu. Minta tolonglah pada Allah, jangan engkau lemah." (HR.Muslim)

Hundred-word Eulogy


In the 1300s, the Chinese Hongwu Emperor wrote the "Hundred-word Eulogy", which praised the characteristics of the Prophet Muhammad (S). Copies of it (like this one) were distributed to mosques throughout China. 

Translation:
Since the creation of the universe
God had already appointed his great faith-preaching man,
From the West he was born,
And received the holy scripture
And book made of 30 parts (Juz)
To guide all creations,
Master of all rulers,
Leader of the holy ones,
With support from the Heavens,
To protect his nation,
With five daily prayers,
Silently hoping for peace,
His heart directed towards Allah,
Giving power to the poor,
Saving them from calamity,
Seeing through the Unseen,
Pulling the souls and the spirits away from all wrongdoings,
Mercy to the world,
Transversing to the ancient,
Majestic path vanquished away all evil,
His religion Pure and True,
Muhammad,
The Noble High One.


Source: Lost Islamic Historys's facebook

Thursday, November 21, 2013

Agama bukan penjara, tetapi ia menjadi penjara apabila tidak disertai dengan cinta [ust wanji]


Wednesday, November 20, 2013

Ibnu Mas'ud r.a. beliau berkata : 

"Saya pernah bertanya kepada Rasulullah saw , ' Apakah amalan yang paling utama?' Baginda menjawab, SOLAT PADA WAKTUNYA, Saya bertanya , 'Kemudian apa lagi ? ' Baginda menjawab, 'BERBAKTI KEPADA KEDUA-DUA IBU BAPA'. Saya bertanya,'Kemudian apa lagi', Baginda menjawab, 'JIHAD DI JALAN ALLAH'".

[ Hadith Riwayat Bukhari & Muslim ]

Monday, November 18, 2013

Great relationships don’t just happen; they are created. You have to work at it.
- SuhaibWebb.com

Saturday, November 9, 2013

I need to sleep early, maybe I will update a little my program with Dr Sukki, Syeikh Ali Sobuni, Habib Najimudin, Mr Muhammad Nicholas Slyvester, Shah Kirit, and Ungku Aziz. I was too tired to attend a talk with prof Naquib al-attas and Sheikh Waleed Al Hakeem today... Allah, i'm so weak.

Friday, November 1, 2013

96:6-8


96:6
Sahih International
No! [But] indeed, man transgresses
96:7
Sahih International
Because he sees himself self-sufficient.
96:8
Sahih International
Indeed, to your Lord is the return.
Sorrow.

Mischievous plan.

Need to walk and get out of it.

The path have abbreviate by an article.

Thursday, October 31, 2013

Wednesday, October 30, 2013

Surat dari ahli kematian

Bismillah...

20 Dzulhijjah 1434 Hijrah, di hari Jumaat yang mulia seorang sepupu bernama Muaz bin Roslan telah pergi meninggalkan dunia ini. Keluarga besar kami iaitu keluarga Haji Ghani merupakan keluarga belah ayah aku. Dia pergi dalam usia yang muda (22 tahun) dan merupakan anak kepada Pak Tih Roslan dan Mak Tih Athirah. Sejujurnya, aku bukanlah orang yang banyak bercakap bersama ahli keluarga terutamanya sepupu perempuan tapi aku kenal mereka semua dan kami ada ikatan yang jelas mengikat hubungan kekeluargaan kami. Kami dari darah merah yang dekat. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa dia dan memberi rahmat kepada saudaraku Muaz bin Roslan. Semoga Allah juga mengampunkan dosa-dosa kita semua dan membimbingkan kita kejalan yang benar dan mengembalikan kita dalam keadaan yang baik.

Muaz bersama Azfarel

Jadi, aku kemudian makin bertanya-tanya, bilakah masa kematianku dan bagaimanakah pengakhiranku? Semasa menziarahi arwah sahabat Fuad pada 19 Oktober yang lalu, aku terasa bahagian tengah dahiku berdenyut, dan ada di antara petanda yang aku baca mengatakan itu adalah petanda 3 hari sebelum kematian. Aku menunggu 3 hari kemudiannya, Allah masih menetapkan perjalanan hidupku di dunia ini. Jumaat ini pula, sepupuku Muaz yang pergi dari dunia ini. 

Justeru, aku ingin memesan kepada diriku, bukan hanya untuk sekadar ingat mati tapi memahami mati.

M.A.T.I.

Sunday, October 20, 2013

Nota diri

Bismillah,

apo lah pemaleh ea den ni,

tak di'update' ea blog ni selalu,

tapi takpolah den raso, den sorang jo baco, agak ea lah... Haha.

Tiba-tiba dia merepek dalam loghat negeri Sembilan, cuaca akhir-akhir ini tak menentu dan hujan selalu, kata imam al-ghazali, "Racun yang paling berbisa ialah sifat MALAS", persoalannya, adakah dia juga telah terkena racun ini termasuk dengan futur sekali? Apakah ubatnya? Berat nanang.

Okeh, motivasi diri. Dia pesan kat diri dia, lepas ni datang kuliah agama, jangan tengok dan dengar je, mana buku nota kamu, kalau kamu tak nak abadikan kenangan dengan syeikh-syeikh dan ustaz-ustaz dan profesor-profesor hebat dengan gambar kerana kamu bukanlah anak murid yang mulzim maka kamu harus ada ingatan yang lebih berkesan terhadap kata-kata mereka dengan nota-nota ringkas. Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki (paling selalu hadir ini, ulama yang hebat), Prof Naquib al-Attas (kata-kata dia disemadikan dalam buku teks sejarah sekolah menengah), Ust Dr Zaharuddin (ustaz fiqh yang dia minati), Prof Dr Mazlee Malik, Habib Ali Zainal Abidin, Habib Kazim as-Saggaf, Habib Musa, TG Hadi Awang, Ust Tuan Ibrahim Man, Ust Nasruddin Hassan, Prof Aziz Bari, dan ramai-ramai lagi tokoh-tokoh hebat yang dia pernah hadiri dan rapat dengan mereka tapi segalanya hilang begitu sahaja sebab tiada nota ingatan. Mengapa begitu kamu, manusia itu pelupa, justeru adakan nota yang dekat dengan diri dan behubung dengan hati.

18 Oktober 2013, Jumaat petang, semasa pulang menghantar seorang sahabat dari tabika lagi bersama-sama ke Terminal 1, Seremban dan seorang lagi sahabat yang pulang ke Mesir, dia dapat berita yang tidak disangka. Ahmad Fuad bin Darus, sahabat yang dia tidak pasti entah bila dia kenalinya dengan kemudian agak rapat pergaulannya, mungkin dari semasa Ahmad Fuad di SEMENDA lagi, atau mungkin sebelum Ahamd Fuad masuk ke SEMENDA lagi. ISLAH Camp menemukan kami. Semasa di matrikulasi Negeri Sembilan, dia selalu datang ke bilik Ahmad Fuad itu, masuk, dan minta tolong bacakan ayat-ayat al-Quran di PA Sistem kluster B dan C. Dia juga selalu lepak dengan Ahmad Fuad, sebelum dia berpisah kali terakhir dengan Ahmad Fuad, dia juga ingatkan Ahmad Fuad jangan lupa ajak dia pergi pondok Ust Zakaria. Pernah sekali beberapa bulan dulu, dia ternampak Ahmad Fuad di perhentian bas berdekatan Pejabat Polis Pedas. Kerana mungkin Ahmad Fuad sudah tukar nombor telefonnya, dia sengaja hantar mesej gurau-gurau dengan Ahmad Fuad. Gurauan antara sahabat buat kali terakhir di dunia ini. Semalam, 19 Oktober, sempat dia ziarahi buat kali terakhir Ahmad Fuad dan menatap wajahnya buat kali terakhir dan menemankan hingga ditanam ke liang lahad, dan kemudian kami semua meninggalkannya dan hanya amalnya yang tinggal menemaninya. Semoga kita berjumpa di syurga kelak wahai sahabat yang dirindui Allah, insyaAllah. Ini nota dari hati seorang sahabat dan nota ini akan terus kekal hinggan dia pula yang pergi menemui Allah.

Hati dia masih lagi mencari kekosongan dalam jiwa.

Moga Allah memimpin dia dan memberinya petunjuk dalam dunia ini untuk selamat di akhirat kelak.

Allahumma Amin.

*Disertai gambar-gambar dia bersama Ahmad Fuad bin Darus masa matrikulasi dulu..




Tuesday, September 10, 2013

Ibu ketenangan

Bismillah...

“I begin to doubt the wisdom of my chosen course of action, but in for a penny, in for a pound. I am willing to sacrifice my money and face the risk because it is more dangerous to turn back than to go on.”


Apa yang nak dijangka, usai berlalu cuti maka cereka baru anak dagang pun bermula, semester baru di UniKL dan pembinaan Q Mall di belakang bangunan varsiti masih rancak dijalankan hingga bistro-bistro ditutup untuk keselamatan. Tak lama lagi jadilah sekolah tinggi ini sebagai universiti yang berhubung dengan shopping mall, mungkin dalam tempoh dasar empat tahun lagi di tingkat empat laluannya.

Semester baru, di penginapan yang baru, dek kerana kecelaruan dengan pihak HEM itu, langkah diangkat dan tinggal di rumah sahabat. Awalan janggal itu kebiasaan, terus di situ kawan rumah memanggilku dengan gelaran ustaz. Meski tidak layak dipanggil sebegitu, aku anggap itu doa kerana gelaran ustaz gelaran untuk orang yang berilmu dan mudah-mudahan aku juga begitu. Kawan rumahku kebanyakkannya bukan pemuda usrah, bukan juga pemuda masjid namun kami senang solat berjemaah bersama. Terkadang aku solat bersama-sama dengan mereka di rumah, terkadang aku rindu kepada masjid, solat bersama dengan mereka itu juga dakwah, moga Allah menjadikan mereka semua insan yang soleh dengan pengakhiran yang baik. Syed Muhsin itu orang yang paling tua dan dia cinta kepada habaib serta majlis-majlisnya, jelas aku juga meletakkan cinta kepada ulama, maka di rumah itu aku dan dia bergerak bersama bila sehaluan dalam hal-hal taman syurga.

Semester baru, di kelas yang baru, suasana yang sama jika ada kenalan yang dulu, hampir tidak diperasannya mereka kepada aku kerna rambut yang mengurai ini. Dari Ampang, pergi jalannya tersesat sedikit, baliknya juga tersesat banyak, masjid Bukit Indah perhentian Isyak. Pensyarah ada yang muncul, ada yang lambat, ada yang ghaib dan ada juga yang mula kasi pelajaran. Minggu pertama, digarapnya dalam catatan memoir, memori tentang rakan yang dilupa namanya dan memori tentang JAVA yang pudar konsolnya.

Ah, aku kena study. Bertingkat-tingkat penyusunan data dalam minda menghurai kembali persoalan kehidupan tentang sekarang dan masa depan. Masa lepas ambil sebagai batu perubahan kemudian diuli batu itu menjadi batu kejayaan. Sedang yang menanti graduan itu adalah hutang. Hutang tentang perkahwinan, kereta dan rumah. Hidup ini jikalau syariahnya lengkap tentu indah namun aturan ciptaan manusia itu ada yang susah lagi menyusah. Dirancang nikah gamaknya tahun 2015, Mesir, Syria, Palestin masih bergolak, haji yang wajib itu tahun 2060 lebih baru berangkat (kata itu manusia), dan masih bermain persoalan antara syariah, adat, kenalan, sahabat, guru-guru, duit, iman.


Proses pemikiran dan keputusan setiap masa depan itu masih berjalan seiring dengan istikharah dan musyawarah, ketenangan anugerah daripada Allah dan remaja Malaysia kebanyakkannya tidak tenang iman mereka, fitnah di bumi ini. Yang muda, yang sebaya dan yang lebih umurnya dari kita, semuanya dalam pertimbangan. Semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua dan memberikan kita keputusan yang terbaik berdasarkan kehendak-Nya.


Saturday, August 10, 2013

Hi Wa Mata Noboru

The heart have been close.
Thus the closed in until it open.
Opened out end.
End off.


Cloudy sky whining in thee dark.
When...



Will no be ready.
Further, prepared already.


Saturday, July 20, 2013

Perbualan rawak X & Y #1

X & Y.

X: Random bersamaan dengan rawak.

Y: Jadi?

X: Apakah kerawakan dalam kehidupan kau?

Y: Apa yang kau definisikan sebagai kerawakan?

X: Aku mendefinisikan kerawakan secara rawak maka adalah kerawakan itu sesuatu yang rawak engkau biasakan adakan dalam kehidupan kau.

Y: Oh, aku tak tahu mungkin? Mungkin dosa?

X: Dosa?

Y: Yup, secara rawaknya aku senantiasa terbuat atau membuat dosa. Aku lelaki lemah yang mengaku hamba Allah namun sering tidak dapat menghalang diri dari melakukan dosa dalam kehidupan sehari-hari aku.

X: Kau kata dosa itu suatu yang rawak dalam kehidupan kau, apakah jenis dosa yang rawak itu?

Y: Rahsia, dosa aku antara aku dan Tuhanku. Meski tidak salah aku mendedahkannya kepada kau, tiadalah menfaatnya melainkan kau sendiri tahu keburukannya. Kau tahu, dia yang orang panggil ustaz itulah yang paling biadap, dia yang dipanggil guru itulah yang tidak mahu belajar, dia yang dikatakan penuntut ilmu itulah tiadalah adabnya, dia yang dikatakan pemimpin itulah tidak melakukan apa yang disuruhnya. Dunia ini penuh dengan watak munafik dan fasik dan aku adalah seorang daripadanya. Kau munafik?

X: Aku munafik? Munafiklah rasanya aku kalau aku tidak mengaku munafik bukan, aku sendiri tidak tahu kedudukan antara aku dan Tuhan aku, amalan entah kemana, kalau dibuat sekalipun melayang akal fikiran entah khusyuk apa namanya. Mengaku cinta, jauh berlari dari akhiratnya. Kau pernah jatuh cinta?

Y: Cinta? Apakah kisah ini pula yang engkau bangkitkan? Aku tak pernah jatuh cinta tapi pernah merasakan tipunya cinta hawa nafsu itu kepada manusia. Dia (hawa nafsu itu) meletakkan sang yang dicintai lebih dari segalanya.

X: Tidak bolehkah kita bersihkan cinta hawa nafsu kepada manusia itu selepas nikah dan taubat?

Y: Andai kau bandingkan sekeping kertas putih bersih dengan sekeping kertas yang telah dironyok begitulah engkau ingin bandingkan antara cinta suci dengan cinta hawa nafsu.

X: Tapi taubat itu membersihkan segalanya. Apa engkau lebih hebat dari taubat itu?

Y: Tidaklah aku mengatakan aku lebih hebat dari taubat itu. Taubat itu perkara yang mulia, aku sendiri mencarinya setiap hari. Kemanakah taubat itu. Tapi mana mungkin taubat itu menjadi perkara mulia apa pentaubatnya main-main akan hal dunianya namun bergembiralah orang yang menjumpai taubat seperti nasuha itu. Cinta hawa nafsu itu umpama kita bermain di bayang-bayang dosa, benda itu ada tapi kita tidak terasa akan kehadiranya.

X: Macam mana dengan kehidupan kau habisnya peningkatan ini?

Y: Hakikatnya kehidupan aku masih lagi sama, tercari-cari makna mimpi tinggi.

Friday, June 28, 2013

Daurah yang ketiga kalinya

Bismillah Bismillah Bismillah Au nom d'Allah

Wah, pertama sekali minta maaf banyak-banyak. Aku dulu ada update nak tulis cerita namun semua itu hanya tergantung dalam fikiran. Idea yang banyak namun kerja yang tak gerak. Teruk betul.








Alhamdulillah. Dari 14 hingga 26 Jun 2013 yang lepas, aku macam biasa habiskan cuti dengan daurah. Ini kali ketiga pergi daurah di Pondok Baitul Qurro, Sg. Udang, Melaka. Alhamdulillah, kali ini belajar kitab Tauhid iaitu Risalah Tauhid karangan Abdul Ghani Yahya dan Umar Yusuf dengan kitab feqah iaitu Safinatun Najah (Bahtera Penyelamat) karangan Salim bin Smeer Al-Hadrami. Kitab Risalah Tauhid ini kali pertama belajar, dua daurah yang lepas dulu masa belajar kitab Tauhid, ustaz guna kitab Al-Khoridah Al-Bahiyyah. Sebab ustaz kata yang ikut daurah ini dah biasa belajar kitab yang itu, ustaz tukar kitab lain pula. Ustaz yang mengajar kitab tauhid ialah Ustaz Zulkifli bin Ismail, yang juga merupakan tuan guru pondok dan juga ketua ulama PAS Melaka. Ustaz yang mengajar kitab feqah pula ialah Ustaz Syauqi bin Ismail, yang juga merupakan adik Ust Zulkifli (Ustaz ini ambil ijazah umur 16 tahun, Master 20 tahun).

Ya Allah, best sangat masa mengaji kitab-kitab ini. Hari-hari yang padat dengan ilmu, takut-takut tak dapat garap semuanya. Pengajian feqah dengan ust Syauqi sangat masyuk. Tak lekang dengan hiburan sama ada dari gurauan mahupun qasidah. Ye la, kadang-kadang kelas ambil masa sampai 4 jam satu kelas saja, ustaz pun pandai bergurau untuk hilangkan lenguh dan penat para penuntut. Pengajian tauhid dengan Ust Zul pula amat membebankan kepala. Ya, tauhid bukan perkara yang senang untuk belajar. Walaupun kitab yang ustaz gunakan hanyalah kitab rendah tapi memang secara umumnya, orang biasa takkan dapat garap semua isi itu kalau hanya belajar tauhid ahli sunnah wal jamaah ini semasa daurah saja. Dek kerana bebanan ini, terkadang aku pun mengantuk semasa kelas tauhid tapi kelas feqah semangat je. Terkadang kelas tauhid sampai pukul 2 pagi. Ust kata, nak belajar ilmu tauhid ini bukan sekali belajar sahaja, kena ulang-ulang, kalau tak faham tu takpe, itu maknanya kita fahamlah akan ilmu itu. Ini juga boleh dibahagikan dalam pembahagian akal harus ada iaitu, harus ada atau tiada akan sesuatu perkara itu bermakna tidaklah ia wajib ada atau mustahil tiada. Haha, saja-saja cuba menggunakan ilmu tauhid dalam penulisan.


Daurah kali ini aku berkesempatan duduk dalam suatu majlis dan saf solat para habaib dan ulama. 18 Jun, Habib Umar Abdurrahman Al-Jufri dari Madinah datang ziarah Baitu Qurro sempena datangnya juga Habib Soleh dari Indonesia. Habib Soleh akan mengadakan pengajian di Baitu Qurro, mengajarkan kitab Sabilul Iktiqad. Mungkin 2 bulan sekali pengajiannya di sini. 22 Jun pula Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki datang mengadakan pengajian kitab Hadis 40 Imam Nawawi. Memang tiap-tiap bulan ada pengajian ini bersama Syeikh Nuruddin di Baitu Qurro. Aku pun selalu hadir majlis beliau di tempat-tempat lain tapi entah kenapa di baitu Qurro ini terasa dekat sangat dengan beliau, tak sama dengan tempat lain. 27 Jun pula, Syeikh Toha dari Iraq datang di Baitu Qurro, beliau ada mengajar untuk daurah pada 28 Jun ini. Sepenuhnya bahasa arab. Alamak, tak berkesempatan pula dengan beliau sebab dah balik rumah. Ada urusan penting. Allah, Rasa masyuk sungguh bila kita sangat dekat dengan para ulama dan habaib ini bahkan tidur satu tempat dengan beliau. Semoga Allah mendekatkan kita dengan orang-orang yang soleh.




Aku juga dapat ramai sahabat di sini, sahabat yang mencari ilmu dengan kehendak sendiri, bukannya sahabat yang terpaksa sebab diletakkan di tempat ilmu itu. Sahabat-sahabat dari Kolej Mara Seremban, dari dulu lagi daurah dengan mereka semua. Salam, Rosman, Deng (Hazim Deni), Adib, Khairul, Bogam (Azri), Radzi, Ustadz (Aiman), Syakir, Fahmi, Taufik, (yang pandang kamera itu namanya Haris) dan juga rakan-rakan yang tak dapat hadir kali ini seperti Fawwaz, Fakar, Syahiran, Amuk (Arif Mukhriz). Dari KMB, Haziq Latif. Baik-baik mereka semua ini, walaupun dari berlainan tempat dan asas, mereka tetap ambil masa untuk bertalaqqi dengan para ulama sebelum sempat untuk terbang ke negara lain. Rakan-rakan dari KISAS juga seperti Zuhdi dengan Najmeen. Sahabat-sahabat yang dari UNIKL MICET pun ada, Farhan, Asyraf. Yang dah bekerja, Azrin, Fitri. Dan ramai lagi. Ya Allah, satukanlah hati-hati kami ini dalam perjuangan untuk menegakkan agama-Mu ya Allah.



Mudah-mudahan kita semua mendapat pengampunan dan rahmat dari Allah.
Barakallah. :)

Saturday, June 1, 2013

Jealousy


Hasan Al-Basri berkata,
" Adakah kamu membiarkan isteri-isteri kamu bergurau senda dengan ramai lelaki? Allah pasti menurunkan keburukan kepada suami yang tidak merasa cemburu" - Kitab AlMuhimmah

Wah, I'm a very jealousy person. :P


" Perempuan yang suka melayan ramai lelaki tidak sesuai dijadikan isteri. "
- Ustaz-



Friday, May 31, 2013

Turun dan naiK

Bismillah,

Tahun lepas semasa aku datang ke minggu suai kenal pelajar baru matrikulasi tanpa dijemput untuk sedikit urusan, menghantar buku kepada junior, dan mungkin beramah mesra dengan sahabat-sahabat yang tidak terjumpa, dan juga mungkin untuk kenal pelajar yang baru masuk ini tapi sedikit cerewet apabila kawanku menjemput aku masuk ke dalam bilik operasi fasi ataupun banquet dan aku dipanggil pensyarah yang menguruskan para fasilitator dan dia menanya akan halnya aku ke sini.

      "Saya dengan sopan ingin menghalau anda keluar dari matrik ini kerana ada bukanlah lagi pelajar di sini mahupun menjadi fasilitator. Meskipun saya tahu anda dulu wakil pelajar di sini tapi anda sekarang hanyalah orang luar dan saya berkuasa untuk memanggil jaga untuk menghalau anda."

Perghh, terkilan sukma ini dek kerana peritnya nasihat itu. Allah. Masa itu aku menglangkah keluar dengan redho, tidak berdendam dengan sesiapa.

30 Mei 2013, setahun kemudian. Aku datang juga ke matrikulasi tanpa dijemput kali ini pada minggu suai kenal pelajar baru. Tapi kali ini sebagai pengiring panel forum pada malam itu. Walaupun tanpa dijemput, hanya sebagai pengiring, aku melangkah bersama-sama pengarah dan orang-orang 'kuat' yang lain, duduk di bangku hadapan dan merayau-rayau sebagai cameraman dan kemudian makan sekali bersama orang-orang 'kuat' matrik ini di bilik banquet atau bilik operasi fasilitator di mana aku dihalau keluar dahulu. Turun dan naik. Allah berkuasa atas segala sesuatu dan peristiwa. Alhamdulillah ala kulli hal. :)


Wednesday, May 29, 2013

Pena satu dan kosong

Bismilllah,

Secara peribadi, aku nak habiskan cuti ini untuk menulis beberapa cerita. Entahlah cerita yang macam mana. Macam semalam, aku ada update cerita LECI UBI. Berkisar tentang manipulasi cinta antara dunia dan akhirat, antara pemahaman literal dan konservatif. Mungkin agak pelik cerita tu. InsyaAllah, akan diusahakan cerita lain kalau rajin. Haha. Buat apa tulis ye? Saja-saja, mungkin bacaan sendiri dan syok sendiri. Allahualam.


LECI UBI

                                                   
   


25 April 2013


Bep. Bunyi mesej masuk dalam inbox laman sosial mukabuku. Khairul memang menantikan sangat mesej dari kawannya yang berada jauh di perantauan. Dia perlukan nasihat untuk perkara ini. Nasihat dari sahabat beriman yang dipercayai dan dikasihi. Hanya dia seorang yang tahu akan hal ini.

"Kau nak betul-betul nak takdim dia? Erm, Khairul. Nombor satunya, jangan gopoh. Tenang dulu. Kalau betul hati dah minat betul kat dia. Teruskan, tapi, untuk mengukuhkan lagi hati kau dan dia, akau sarankan kau telefon ayah dia, mintak izin untuk berkenal-kenal dengan dia, dan nyatakan niat suci kau. Mungkin cara tu lebih kukuh dan hati kau lebih tenang. Itu pun kalau kau dah betul-betul buat keputusan bahawa dia adalah pilihan kau, dan si dia pulak meredhai yang dia adalah pilihan kau. Sebenarnya aku pun tak tau sangat. Benda ni susah betul nak cerita...
Tapi tak mustahil korang boleh setia dalam tempoh berapa lama sekalipun. Asalkan kau buat beberapa perkara yang akan aku syorkan pada kau jika kau sudah membuat keputusan."

          Khairul meneliti bait-bait curahan nasihat yang diberikan oleh sahabatnya. Perihal takdim atau lebih sinonim sebagai “cop” seseorang sebagai pasangan hidup kelak. Bertunang tapi bukan bertunang. Mungkin kisah sahabatnya Naim menjadikan beliau lebih berhati-hati tentang hal ini (rujuk sini). Manusia punyai nafsu, syaitan pula menyemarakkan. Mungkin Khairul tergolong dalam mereka yang cuba menjaga ikhtilat sebaik-baiknya tetapi panah-panah syaitan itu akan menusuk semua jiwa bahkan jiwa yang nampak bersih peribadinya mungkin dosa telah menghitamkan hatinya.

          Seminggu yang lepas, dua insan telah memberi masa sesama sendiri selama dua minggu untuk meneliti, membincang, dan beristikharah sama ada dua hati ini sudi untuk di ikat bersama-sama secara rahsia. Khairul dan Emily. Bagi Khairul, takdim juga ada hikmahnya, penetapan hati dan pemfokusan hati. Lelaki, memang Allah uji dengan wanita. Bagi Emily pula, mulianya wanita pada penjagaan hubungan dirinya dengan persekitarannya. Wanita, memang Allah uji dengan dunia. Lelaki dan wanita, dijadikannya berpasang-psangan dan jodoh masing-masing telah tertulis sedia ada dalam kitab Luh Mahfuz.

2 Mei 2013

          "Jadi, kamu mahu bernikah dengan saya pada masa hadapan?"

          "Ok. InsyaAllah."


          “Bro, dari pihak aku, kau seorang saja yang tahu hal ini. InsyaAllah, aku dengan dia sama-sama bersetuju untuk bernikah dalam tempoh lima tahun lagi. Memang lama tapi aku nak cuba dapatkan kerja tetap dahulu lepas ijazah nanti. Nasihatkan aku dan tegur aku.”, ujar Khairul kepada sahabatnya.

          “Alhamdulillah, jagalah baik-baik ye. Semoga ini keputusan yang baik dan Allah mempermudahkan urusanmu kawan.”

          “Kau, macam mana kau jaga?”

          “Macam mana kau jaga baju kau dari kotoran? Macam itulah. Jangan contact selalu, jangan tak contact langsung. Macam layang-layang, tapi jaga, jangan sampai tali putus.”

          “Hey, macam mana kalau aku kurang keyakinan dengan dia? Ya, dia muslimah yang baik tetapi aku stalker juga maklumat-maklumat dari laman social mukabuku dia, ada adik-beradik bukan mahram yang tak sahih laa, ada perbualan awam dengan bukan mahram yang unsur nafsu dan fitnah  seperti kita universiti sama Fakhrul, makan dan belajar sama-sama ya nanti, duduk sebelah saya dan juga lain-lain. Itu yang aku nampak tentang dia, yang tak nampak?”

          “Khairul, Khairul. Jodoh itu bersangkut paut dengan imanmu sendiri kawan. Mungkin kerana kau terlalu sibuk usha dia yang masih belum sah hubungannya dengan kau, kau terlupa nak usha hubungan kau selalu dengan Allah. Sepatutnya hubungan kau ini menjadikan kau lebih bertambah baik kan. Jangaan sibuk untuk mencari yang terbaik sahaja, tapi yang lebih penting adalah untuk berusaha menjadi lebih baik. Sama-sama kita tingkatkan iman dan amal kita kawan, insyaAllah, Allah akan beri ketentuannya yang terbaik buat kita jika kita berusaha yang terbaik juga. Percaya pada si dia.”

          “Allah, mungkin aku makin lalai dan selalu lalai. Thanks kawan. InsyaAllah, sama-sama kita memperbaiki amalan dan iman kita. Hebat kan orang beriman itu, ketentuan Allah segalanya baik bagi mereka, sama ada buruk ataupun baik, senantiasa bersyukur. Semoga kita tergolong dalam golongan itu kawan. Lima tahun, tempoh yang lama kan.”


             “Tak mustahil untuk kekal setia. Sebab korang berdua dah janji untuk islah dan baiki diri. Untuk tempoh menunggu ni. Jangan tak contact langsung. Mungkin ada yang boleh buat, tapi tak semua orang mampu. Sekurangnya tanya khabar, mungkin boleh buat sesi luahkan masalah, study atau sebagainya. Khairul, kau lagi tahu dari aku sebenarnya. Ingat-ingat LECI UBI. Ingat, Luahan Ekpresi Cinta Ilahi Untuk Bakal Isteri.”

          “Baik kawan, cinta kepada Allah bukan. Sweet sungguh. Aku tunggu kau umur 22 atau 23 tahun nanti. Allahualam.”
  
           “Baiklah, last tazkirah sebelum nak pi kuliah ni. Kepercayaan dan harapan. Dua perkara yang manusia tidak sedar bermain-main dengannya hingga pabila hilang barulah terasa. Percayalah kepada perkara yang benar dan baik, dan letakkan harapan pada Allah. Semoga Berjaya wahai orang yang mencintai isterinya kerana iman. Salam.”








Monday, May 20, 2013

Hari Guru 2013

Bismillah,

Semalam aku terfikir-fikir nak pergi sekolah atau tak, kalau pergi nak pakai baju kemeja hitam, kasut kulit hitam siap dengan kot hitam sekali dan kemudian esoknya aku terasa keseorangan nak pergi. Takkan la nak pergi seorang diri, aku ni dah la pemalu (kononnya)... Ops, tiba-tiba pagi tu Hilmi telefon aku, "Rahim, kau ada rumah kan, teman aku pergi sekolah, ambil sijil SPM, aku dalam satu jam setengah lagi sampai."

Jam menunjukkan pukul 7.30, target masa Hilmi sampai sekolah 9.30 (Batu Kikir kan jauh, aku ingat 2 jam laa sampai kot). Ok, kita main game, lepas tu tidur jap. Zzzz...

Erk! 8.45 pg, Hilmi call balik, "Rahim, aku dah sampai, kau kat mana?". Aku balas, "On The Way". Haha, bangun, siap-siap mandi, pakai baju t-shirt, ambil sandal, minyak rambut tak perlu, naik motor, pecut, dan... Sampai akhirnya pukul 9.15 pg. Alamak, plan asal nak smart dan bergaya langsung tak jadi. Ish, ish, ish...

Jumpa Hilmi kat kantin, sebelum tu ramah mesra dengan staf-staf sekolah, makcik-makcik dan pakcik-pakcik di situ yang mengenali diriku sebagai seorang bekas pelajar. Guru-guru? Kebanyakkannya di dewan sekolah, hari guru kan. Selepas ramah mesra dengan staf, baru borak-borak dengan Hilmi. Dah lama tak jumpa dia, hampir setahun lebih, terasa sama, dia masih Hilmi yang sama dan mungkin yang lebih baik.

Dia ajak masuk dewan, beramah dengan guru-guru. Aaa, aku yang tak berapa smart ni nak masuk dewan, ikut sajalah. Semua guru lelaki aku salam, cikgu Mustapa tegur, "Rahim ni baru bangun tidur ni". Haha, kantoi. Rambut aku agak panjang, cikgu Zaidi rupanya pun macam tak puas hati dengan rambutku. Cikgu Rasis pulak, "Motor laju, rider eh". Um, takdelah laju mana pun cikgu. Kemudian, duduk di sebelah ustaz Aimi, "Waa Rahim, buat apa sekarang?". Soalan sama bila berjumpa dengan cikgu-cikgu ni semua. Mereka gembira nak tahu sejauh mana kecermelangan bekas pelajar-pelajar. :)

Rasa segan duduk sebelah ust Aimi seorang diri, berundur ke kerusi belakang, duduk bersama Hilmi. Usai program sebelum rehat. Masa rehat kami beramah mesra dengan cikgu perempuan pula yang masih tinggal dalam dewan tak pergi makan. Allah, ada seorang cikgu tegur, "Selekehnya kamu ni". Huhu, mesti sebab aku pakai sandal je. Dahla program rasmi sekolah. Berbual agak lama dengan cikgu Roslin, cikgu sains masa tingkatan 3. Ye, dia masih ingat aku walaupun dia ajar aku masa tingkatan 3. Hebat betul ingatan cikgu-cikgu ni terhadap pelajarnya, bukti tanda kesungguhan mereka pada para pelajar.

Dah habis ramah mesra dengan cikgu perempuan, Hilmi pergi pula borak-borak dengan Ust Farizan, aku duduk sebelah ustaz Farizan kejap, kemudian Ust Nik Affendy panggil naik atas pentas, "Rahim, nanti kamu pesan kat Arif untuk buat meeting alumni dengan batch tingkatan 5 lepas". Aiwah, ada tugasan baru. Atas pentas ada ustzh Azilah juga. Ramai pelajar tengah bersiap nak buat persembahan selepas rehat ini. Bila ust Farizan pergi dari Hilmi, aku dan Hilmi keliru sama ada nak balik atau tak. Kami keluar dewan, fikir-fikir nak balik, terjumpa cikgu Rasis, kemudian dia ajak tengok dulu persembahan.

Guru dah mengajak kan, takkan pula kami nak tolak. Persembahan dikir barat dari tingkatan 3, persembahan choral speaking dari tingakatan 3 muslimat dan yang terakhir dari tingkatan 5 muslimin, persembahan pentomin. Agak menarik persembahan-persembahan mereka, terutamanya tingkatan 5 muslimin, tentang masalah salah laku pelajar di sekolah yang menyusahkan para guru, pengakhiran persembahan itu agak sedih bagi aku, disebabkan pelajar-pelajar salah laku itu semuanya kena buang dengan background music yang menyedihkan. Bukan apa, aku teringat kepada kawan-kawan batch aku yang kena buang masa tingkatan 4 dulu dek kerana nak mengajar budak-budak merokok.

Habis persembahan itu, aku dan Hilmi mengorak langkah pergi dari dewan untuk berangkat pulang tanpa perlu dikhabarkan. Ada juga bekas pelajar muslimat SPM 2011 datang melawat, mereka tinggal sampai akhir program dan dikhabarkan dari salah seorang dari mereka, Afifah Hanani, mereka nak beri ucapan hari guru tapi microphone tak berfungsi. Bukan rezeki merekalah nampak gayanya dan bukan juga rezeki kami sebab kami dah keluar awal sedikit. Dan begitulah pengakhirannya, kami pulang ke rumah masing-masing.

Selamat Hari Guru buat guru-guruku di SMKA Pedas, jasamu tetapkan ku kenang :)



Monday, April 15, 2013

Semalam dan hari sebelumnya

Semalam dan hari sebelumnya....
Ada satu program untuk subjek Pengajian Malaysia iaitu program anak angkat di Kg. Sireh, Tanjung Karang, Selangor.
Kena pergi, semua wajib untuk markah tugasan bagi subjek ini.
Duduk tak sampai dua hari, dapat keluarga angkat. Aaaaa, kejap sangat untuk program anak angkat tapi lama-lama pun tak boleh, tugasan subjek lain masih berlambak....
Malas? Urghh, kena siapkan juga.
Eh, dah terkeluar topik.

Haa, aku tingal di rumah keluarga En. Badli dan isterinya, Pn. Maspupah (kena tulis, nanti lupa seperti masa program anak angkat kat matrik dulu di Felda Lui Selatan).
Ayah dia, En. Badli lahir tahun 1959, sama seperti keluargaku...
Anak-anak dia lima orang, sama seperti keluargaku...
Turutan anak-anak dia pun sama seperti keluargaku... (girl, boy, girl, boy, girl)
Anak pertama dulu belajar kat uitm gak, sama seperti keluargaku...
Anak kedua bakal nikah bulan depan dan bekerja kedai sendiri, sama seperti keluargaku...
Yang keempat, sekarang tengah belajar di KMNS, sama seperti keluargaku...
Yang kelima, masih bersekolah, sama seperti keluargaku...
Ada seorang cucu masa aku awal-awal datang, sama seperti keluargaku...

Tapi masa sebelum nak balik tu, sempat anak dia yang pertama tu, lahirkan anak lagi seorang padahal malam semalam rilek je, tak sama seperti keluargaku... (aku juga dibawa pi hospital Tanjung Karang).
Dah, malas nak tulis panjang-panjang, lain kali kita cerita lagi ye :)






Sunday, March 24, 2013

Hidup Ini Diberkati?

Tengah skrol newsfeed Facebook.com terjumpa seseorang post ini dari page Bercinta Selepas Nikah:

EMPAT TANDA HIDUP TAK BERKAT
Tanda-tanda hidup kita tak berkat ialah :
1. Duit banyak, tapi cepat jer habis.
Tak tau duit pergi mana. Pendapatan bertambah, tapi asyik tak cukup jer. Duit banyak dihabiskan pada benda yang sia-sia. Patutnya bila duit dapat banyak, sedekah pun kena la bertambah. Tapi tak, kita jadi makin kedekut. Sedekah tak bertambah, duit tetap habis ke tempat lain.
2. Buat kerja, tak siap.
Projek ada macam-macam, idea banyak, tapi satu pun tak berjaya. Macam-macam usaha dibuat, macam-macam projek kita cuba nak lakukan, tapi semuanya tergantung. Semuanya tergendala. Satu pun tak berjaya. Kalau ada yang menjadi, tapi tak seperti yang dirancangkan.
3. Buat sesuatu, tak dapat manfaat.
 Baca buku banyak, tapi ilmu satu pun tak lekat. Nasihat orang pandai, tapi diri pun tunggang langgang.
4. Masa habis dengan sia-sia.
 Kononnya sibuk, tapi sebenarnya banyak masa dihabiskan dengan perkara yang sia-sia. Leka main fesbuk, leka tengok TV, leka berborak dengan kawan, leka main game, leka melepak dengan kawan-kawan. Tapi nak luang baca Quran 5 minit sehari pun tak boleh. Solat pun akhir waktu. Solat tak sampai 5 minit. Zikir langsung tak amal. Malah nak berdoa untuk diri sendiri pun malas.
Adakah anda salah seorang yang mengalami atau merasai tanda-tanda di atas?
Mari kita sama-sama muhasabah diri. Tanya pada diri, adakah kita salah seorang daripada orang yang tidak mendapat keberkatan dari Allah.

Err....
Berkatkah hidupku ini...
Allah, ampunilah dosaku, bimbinglah aku ke jalan yang benar...

Friday, March 22, 2013

Daki dan Lari

DAKI
Alhamdulillah, usai menawan Gunung Korbu dan Gayung, Ulu Kinta, Perak pada 14-17 Mac hakiki. :)
Gambar dibawah bersama dengan seorang sahabat di UniKL MIIT, Mahmoud Izzat Ikhwani.
Gembira mendaki kerana bukan sekadar gunung konkrit dan besi.
Rindu pengalaman nikmat kurniaan Ilahi.



LARI

Yang sedihnya, ramai muslim tidak menjaga solat semasa pendakian ini. :(
Lari dari amanah, ke arah mana mampu dituju tidak tahu ditempuhi.
Akhir zaman bukan alasan kita untuk menjadi-jadi jahiliah diri.
Semoga kita tidak tersesat di dunia walau sekali,
agar diredhoi,
semasa dipanggil ilahi.




Masih mencari makna kehidupan ini...
Allah, ampunilah hambamu yang lemah ini...