"Serumpun tulisan anak dagang yang tak kekal hidup di dunia ini tapi dia tahu tulisan itu akan kekal biar pabila dia sudah tiada."

Monday, March 4, 2013

Ini Kali Lah

Pagi. Aku terjaga dari lenaku. Kedengaran sayup bunyi ayam digoreng datang dari dapur. Aku melihat jam 1Malaysia yang tergantung di dinding bilikku, bersebelahan poster wira negara kesayanganku, Datin Paduka Sri Dr. Rosmah Mansor. Oh, sudah tengah hari rupanya. Lewat aku bangkit ini mungkin gara-gara berjaga hingga lewat malam semalam, melakukan operasi copy paste link lucah ke page-page pencacai-pencacai PR. Aku tersenyum sendiri. Pasti mereka semua sudah insaf setelah melihat link-link yang aku berikan.
Aku lirikkan kembali mataku memandang poster Datin Paduka Sri Dr. Rosmah Mansor. Wanita tabah dan berkaliber itu sememangnya sudah menjadi idolaku, semenjak beliau memeluk Lee Chong Wei lagi. Aku menitiskan air mata. Tersentuh jiwa lelakiku mengenangkan sifat kasih dan sayang beliau yang tiada tolok bandingnya. Kerana itu aku tidak kisah beliau berbelanja sakan menggunakan wang rakyat. Aku sebagai rakyat merelakan. Aku anggap itu adalah hadiah kepada beliau yang telah kuanggap sebagai ibu. Aku bangun dari katilku untuk melakukan rutin harian, mencium gambar Datin Rosmah kesayanganku. Ketika itulah ibu kandungku masuk ke bilik. "Apa kejadahnya kau pergi cium gambar pompuan tu?" tanya ibuku kehairanan. "DATIN ROSMAHLAH! DATIN ROSMAH!" aku menjawab sambil memijak-mijak ibu kandungku. yaa. aku memang pantang sekiranya ada yang tidak memanggil wira pujaanku dengan panggilan yang selayaknya.
Aku berlalu meninggalkan ibu kandungku yang sudah pengsan itu, lantas menuju ke dapur. Perutku perlu diisi. Perjuanganku masih belum selesai. Aku mencapai kitab suci harian kaum melayu, Utusan Malaysia. Sebagai melayu tulen, wajib bagi aku membaca Utusan setiap hari. Keimananku terhadap BN mesti dijaga di setiap ketika. Aku bawa kitab suci itu ke dapur, sebagai bacaanku ketika mengisi perut. Makanan sudah terhidang, dan aku mula membaca kitab kesayanganku itu. Aku terbaca kenyataan wira kesayanganku yang ke-2, Dato Sri Najib Razak. Walaupun beliau tidak sehebat Datin Paduka Sri Dr. Rosmah Mansor, aku masih lagi mengagumi aspirasi-aspirasi beliau. Konsep 1Malaysia yang beliau terapkan, berjaya menjadikan aku seorang yang bertoleransi. Malangnya, kaum-kaum pendatang cina dan india ramai yang tidak mengenang jasa. Sudah diberi tumpang negara, masih nak melawan kerajaan pilihan Tuhan, BN.
Berbalik kepada kenyataan Dato Sri Najib Razak, beliau mengatakan, pertukaran kerajaan mengundang bahaya kepada negara. Katanya matawang akan jatuh, inflasi akan meningkat, sektor pelancongan akan lumpuh, dan keselamatan akan tergugat. Kenyataan ini datang dari pemimpin parti kerajaan yang dipilih Tuhan, tiada sebab untuk aku ragukan. Kemarahanku semakin meluap-luap pada pencacai-pencacai PR. Bodoh sungguh mereka kerana perkara semudah ini pun masih tak dapat nak fikir. Masih mahu menukar kerajaan. Dasar Khawarij!!
Seusai makan, aku log in facebook. Aku lihat ramai yang post tentang Syria dan Palestine. Aku kesedihan. Sedih kerana di Negara mereka, tiada BN. Sekiranya mereka diperintah BN, pasti aman damai bumi mereka. Ada masalah pun hanya seperti kes membawa anak ke demonstrasi. Hatiku panas kembali, mengenangkan ketidak syukuran pencacai pembangkang, cuba melakukan huru-hara dengan berdemo. Kalau tak suka BN, Keluarlah dari Malaysia!! Aku meneruskan scroll down newsfeedku. Sambil-sambil itu, aku buka notepad di mana telah aku savekan link-link gambar dan video lucah yang akan kugunakan untuk membalas hujah ilmiah puak pembangkang.
Akhirnya aku terjumpa satu post dari sebuah page yang kelihatan pro pembangkang. Agak ramai likers. lebih ramai dari page kesayanganku, Isu Pornlitik Semasa. Aku memulakan tugasku, copy paste link-link yang telah aku save. Smileys aku gunakan supaya aku nampak tidak emosional dan cool. semakin ramai yang reply pada komenku, ada yang ketawa. Aku bangga kerana mereka anggap aku kelakar dan cool. Kemudian ada seorang reply dengan menggunakan hujah dan fakta. Aku mengetap tanganku, bersedia untuk membalas hujah beliau. Maka beratus-ratus perkataan "liwat" telah aku tulis demi membalas hujah pencacai tersebut. Smileys tidak aku lupakan. Aku terasa cool lagi.
Aku semakin hebat dihentam oleh fans page tersebut. Namun aku masih bertahan. Aku bercakap menggunakan ilmu. Aku tahu aku dipihak yang benar. Masakan pihak yang menggunakan isu-isu lucah itu salah. Menjaja kisah lucah itu adalah perkara mulia. Menuduh orang berzina dan meliwat tanpa bukti itu adalah perjuangan Islam yang sebenar. Dan aku adalah Islam Melayu yang paling tulen. Tak mungkin aku salah! Demi perjuangan, aku rela korbankan apa sahaja, termasuklah maruah.
Eh, ada orang ketuk pintu bilik. Mengganggu perjuangan aku betullah.
*** Ini adalah catatan terakhir Arwah Amri Akif (Bukan nama sebenar) sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir keesokan harinya akibat dibelasah oleh adik beradiknya setelah diketahui beliau memijak ibu beliau sehingga koma. Sehingga ke akhir hayat, tidak lekang mulutnya menyebut "Hidup BN" sambil membuat jari 1Malaysia, namun dibalas dengan jari tengah oleh orang sekeliling *** 

-sumber, facebook


2 comments: